Sunday, February 19, 2012

KeranaNya. Terbina Sinergi

Bumi Australia mengalami musim bunga. Bunga-bunga berguguran dan enak mata memandang. Keriangan lima sahabat boleh digambarkan dengan bunga-bunga yang sedang mekar ini. Cuti semester akan bermula dua hari lagi. Hari ini, hari Khamis merupakan hari terakhir musim peperiksaan yang telah berlangsung selama dua minggu. Petang Khamis, selepas solat Asar di Masjid Universiti, Izzati diamanahkan mengetuai usrah mereka minggu ini. Usrah terakhir untuk semester keempat di bumi Australia dengan Naqibah mereka, Syamila. Syamila akan berangkat pulang ke Malaysia bagi menghabiskan cuti semesternya. Selesai usrah bersama-sama, kelima-lima sahabat ini menyelusuri bangunan pulang ke penginapan. Rumah KAMI. Nama yang cukup simbolik di sebalik keakraban persahabatan yang terjalin sejak mereka di tahun satu lagi.

    Selesai solat subuh berjemaah seisi rumah, masing-masing mencapai al-mathurat dan mengalunkannya beramai-ramai. Usai bacaan al-mathurat, giliran Raihan memberikan tazkirah subuh. 45 minit berlalu. Semua mendengar dengan penuh teliti bait-bait kata yang diucapkan oleh Raihan dengan diselang-seli gelak ketawa bagi menghilangkan rasa mengantuk. Selesai kuliah subuh, tepat jam tujuh, semua kembali ke bilik masing-masing. Kehidupan yang penuh disiplin dari tahun satu. Kehidupan mahasiswa yang dijalani dengan usrah, solat berjemaah, cukup dengan nilai-nilai tarbiyyah. Aktiviti-aktiviti inilah yang menjadi makanan jiwa mereka berlima di bumi orang ini, merantau jauh dari kampung halaman.

    Hari pertama cuti semester di Rumah KAMI. Semua penghuninya membuat urusan sendiri. Akma dan Wani berada di dapur, menyiapkan sarapan pagi. Mereka berdua memang terkenal dengan kemahiran memasak dan kebetulan hari ini giliran mereka berdua menyediakan sarapan pagi. Izzati dan Hafizah sedang bersiap untuk keluar berjoging. Manakala Raihan sendirian di bilik. Memandangkan hari pertama cuti semester, perpustakaan juga tidak beroperasi, semua mahasiswa memilih untuk menghabiskan masa di rumah sewa masing-masing. Jam menunjukkan tepat pukul 8.30 pagi, Izzati dan Hafizah baru pulang dari berjoging.
Sarapan pagi sudah terhidang di meja makan. Lima bersaudara selera menjamu sarapan pagi sambil bercerita diselang seli dengan gelak tawa yang menggamatkan suasana di rumah sewa tersebut. Tiba-tiba Akma bersuara,

“Kawan-kawan, apa kata petang ni lepas solat zohor, kita tengok cerita Dalam Mihrab Cinta. Jom ar, ramai-ramai baru best”. Akma melontarkan ideanya.
“ Urmmm,, boleh jugak. Layaann”. Jawab Izzati dan dipersetujui semua. Sarapan pagi terus dijamah dengan seleranya. Nasi lemak yang mengubat rindu makanan di kampung halaman. Selesai makan. Semua membawa haluan masing-masing. Ada yang ke bilik air, mencuci pakaian, ada yang memerap di bilik menyelesaikan apa yang patut diselesaikan dan ada juga yang menonton televisyen. Seperti yang dijanjikan, usai solat Zohor secara berjemaah, semua berkumpul di ruang tamu untuk menonton cerita Dalam Mihrab Cinta kecuali Raihan. Akma bersuara,

“ Raihan mana, kenapa tak turun lagi. Ok sebentar, saya naik atas jap”, Akma melontarkan persoalan.
Tanpa menunggu jawapan daripada mereka semua, Akma bergegas menghayun langkah menaiki tangga ke tingkat atas rumah sewa untuk memanggil Raihan turun menonton bersama-sama. Bilik diketuk. Berkali-kali. Tanpa dipinta untuk masuk, Akma membuka pintu yang tidak berkunci. Terdengar bunyi air. “Ooo dalam bilik air rupanya, baiklah tunggu kejap”. Akma bermonolog sendirian. Sebentar kemudian, Raihan keluar dari bilik air dan terkejut melihat Akma sedang menunggunya. “Raihan, jom turun”, berkata Akma.
“Eh, takpe, tengok dulu, lepas ni saya turun”, jawab Raihan.
…………………………………………………………………………………………………………
Sejam berlalu. Izzati, Wani, Hafizah dan Akma sedang khusyuk melayan cerita Dalam Mihrab Cinta. Manakala Raihan masih di bilik. Tanpa disedari oleh sahabat-sahabatnya, Raihan sedang mencatat sesuatu. Ada sesuatu yang disembunyikan oleh Raihan daripada pengetahuan keempat sahabatnya. Sebulan yang lalu, Raihan sendirian ke hospital berdekatan untuk membuat pemeriksaan akan kesakitan yang dialaminya selama dua hari berturut-turut. Pemeriksaan kesihatan yang mengambil masa selama sejam itu dilaluinya dengan penuh kesabaran. Keputusan hasil pemeriksaan diterima dengan penuh kerelaan. Raihan disahkan menghidapi kanser tulang belakang. Kanser yang dihidapinya masih di peringkat awal. Raihan cuba untuk menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan sesiapapun, akan tetapi peraturan Allah itulah yang terbaik. Kesakitan yang dialaminya  diketahui oleh sepupunya, Nisa. Setelah dinasihati, Raihan dengan keterpaksaan menelefon keluarga di kampung. Berita ini sudah diketahui oleh keluarganya di Malaysia. Setelah beberapa perbincangan yang dilakukan, pihak keluarga di kampung memintanya kembali dan menyambung pengajian di universiti tempatan. Masalah yang dihadapinya ini tidak diketahui oleh keempat-empat sahabatnya. Raihan mengambil keputusan untuk tidak memberitahu mereka kerana tidak mahu mereka risaukannya. Hanya tinggal seminggu lagi, Raihan akan pulang ke Malaysia. Segala urusan berkaitan pertukaran pusat pengajian dan perkara yang berkaitan telah dilakukannya dengan pertolongan sepupunya, Nisa.

     Seminggu sebelum kepulangan Raihan ke Malaysia. Usai solat Isyak berjemaah, Raihan bersuara  memecah keheningan malam. Segala rahsia yang disimpannya selama ini diberitahu kepada Izzati, Wani, Hafizah dan Akma. Semuanya menunjukkan reaksi muka terkejut. Semuanya tidak menyangka Raihan mempunyai masalah yang besar. Ini kerana Raihan bukanlah seorang yang pendiam. Raihan merupakan antara penghuni Rumah KAMI yang sering membuatkan rumah menjadi ceria. Raihan seorang yang sentiasa gembira, akan tetapi tiada siapa yang tahu keceriaannya menyembunyikan masalah yang dihidapi. Setelah mengetahui berita tersebut, Izzati, Wani, Hafizah dan Akma merancang suatu percutian bagi meraikan Raihan. Walaupun perasaan mereka mula merasakan satu kehilangan besar yang akan berlaku, tetapi mereka berempat tidak menunjukkan perasaan itu di hadapan Raihan. Mereka menerimanya dengan redha. Kepulangan Raihan ingin dihalang akan tetapi setelah mengetahui semuanya sudah selesai dilakukan termasuk pertukaran pengajian Raihan ke Malaysia juga, mereka terpaksa menerima semuanya dengan pelbagai perasaan.

    Selama empat hari berkelana di bumi Australia, pelbagai tempat dilawati dalam menghabiskan cuti semester. Semuanya dilakukan demi meraikan Raihan. Ukhuwwah yang terjalin tidak dapat digambarkan melalui kata-kata. Mereka kembali ke Rumah KAMI dari pengembaraan. Sehari sebelum keberangkatan pulang Raihan ke Malaysia. Semuanya membantu persiapan terakhir Raihan. Dalam kesedihan yang semakin menjengah untuk melepaskan kepulangan Raihan ke Malaysia, Izzati menceriakan keadaan. Pelbagai suka duka persahabatan mereka selama tiga tahun di sini diceritakan. Masing-masing mengeluarkan cerita tersendiri. Segala pahit manis, pengalaman dan segalanya tidak disembunyikan lagi. Semuanya diceritakan. Nikmat persahabatan itu sangat dirasai. Sahabatlah yang menjadi saudara terdekat selain keluarga yang jauh di kampung.

    Hari yang ditunggu-tunggu, sudah tiba. Hari keberangkatan pulang Raihan ke Malaysia. Walaupun hanya tinggal setahun lagi untuk mereka menamatkan pengajian, akan tetapi Raihan terpaksa menurut kehendak aturan keluarganya untuk kembali ke Malaysia. Kewangan juga menjadi antara faktor untuk Raihan diminta pulang ke Malaysia. Sebagai anak yang sentiasa menurut perintah keluarga, Raihan terpaksa mengambil langkah meninggalkan sahabat di bumi Kanggaru dan menukar pengajian di Malaysia. Raihan bersangka baik. Jika persahabatan ini diredhaiNya, insyaAllah akan dipertemukanNya sekali lagi. InsyaAllah. Lambaian tangan keempat-empat sahabat mengiringi pemergian Raihan. Selepas kelibat Raihan hilang dari pandangan, Izzati, Wani, Hafizah dan Akma saling berpelukan. Akhirnya, linangan air mata yang ditahan dari tumpah di hadapan Raihan tidak dapat dibiarkan lagi. Semuanya menjadi saksi akan rasa ukhuwwah persahabatan yang dibina. Beginilah rasanya apabila, sahabat yang disayangi tiada di sisi.
………………………………………………………………………………………………………
    Setahun berlalu, Raihan sudah kembali sihat dari kanser tulang belakang. Dengan prestasi kecemerlangan yang dicapainya ketika menuntut di Australia dalam bidang kejuruteraan, Raihan tidak mengalami masalah untuk meneruskan pembelajarannya di universiti tempatan walaupun terpaksa berulang-alik dari pusat pengajian ke hospital, semuanya dihadapi dengan tenang. Persahabatan antaranya dengan Izzati, Wani, Hafizah dan Akma semakin erat walaupun keempat sahabatnya berada nun jauh di bumi Australia. Dengan kemudahan internet, setiap suka duka dan cerita mereka dikongsi bersama. Mereka semua berjanji akan bertemu di hari konvokesyen Raihan. Memandangkan Izzati, Akma, Hafizah dan Wani menamatkan pengajian dua bulan awal daripada Raihan, mereka akan kembali ke Malaysia sebelum berlangsungnya hari konvokesyen Raihan.

    Bulan Ogos di bumi Kanggaru, saat yang ditunggu-tunggu oleh setiap manusia yang bergelar mahasiswa kunjung tiba. Hafizah, Wani, Akma dan Izzati selamat bergraduasi setelah empat tahun berhempas pulas mencari ilmu di rantau orang, akhirnya mereka selamat diijabkabulkan dengan segulung ijazah. Dengan semangat yang membara dan kerinduan yang tidak tertahan lagi, keempat sahabat ini sudah bersiap sedia untuk kembali ke Malaysia bertemu sahabat tercinta, Raihan dan keluarga yang lama ditinggalkan demi mengejar impian. Penerbangan dari Australia ke Malaysia dijadualkan pada hari selasa waktu 10.00 pagi. Pelbagai persiapan sudah dilaksanakan. Segala barangan yang ingin dibawa pulang dikemaskini dan sudah ada setengahnya dihantar pulang terlebih dahalu. Hari yang ditunggu telah tiba. Penerbangan pulang ke Malaysia mengambil masa selama 10 jam. Waktu yang cukup lama dirasakan. Bagi Izzati, Akma, Hafizah dan Wani, jika perjalanan ini dapat disingkatkan waktunya, ingin sahaja sampai awal di tanah air.

    Raihan sudah siap sedia menyarungkan jubah konvonya. Keriangan jelas terpancar di riak wajahnya. Penderitaan yang dialami selama berbulan-bulan, akibat kanser tulang belakang,  alhamdulillah kembali pulih. Kini tiba saatnya, Raihan bergraduasi setelah keempat-empat sahabatnya sudah awal dua bulan darinya menamatkan pengajian. Hari ini nama Raihan binti Mohammad akan kedengaran di dewan Canselor. Hari Konvokesyen berlangsung dengan penuh adat dan protokol. Seorang demi seorang mahasiswa melangkah kaki menaiki tangga pentas untuk menerima scroll ijazah. Tibalah saat nama Raihan diumumkan. Dengan atur langkah yang tertib dan sopan, Raihan menghayun langkah ke tengah pentas menerima segulung Ijazah daripada Naib Canselor. Alhamdulillah. Itu sahaja yang mampu diucapkan.

    Selesai sudah majlis konvokesyen bagi sesi pagi hari terakhir ini. Dengan meminta izin daripada ayah dan emaknya, Raihan keluar dari Dewan Canselor menuju ke suatu tempat. Dengan kesesakan orang ramai, Raihan mencari tempat yang ingin ditujunya. Surau. Dengan langkah kanan, Raihan memasuki surau Dewan Canselor dan melakukan sujud syukur.

    Ya Allah, Terima kasih atas segalanya, hari ini tanggal 10 Oktober 2011, diri ini selamat menamatkan pengajian. Hamba bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan. Dengan kesakitan yang dialami, diri ini meneruskan juga pengajian ini hingga akhirnya. Allahuakhbar.

Selesai berteleku mengadap Ilahi, Raihan kembali ke tempat yang dijanjikan. Dalam keriuhan orang ramai, kelihatan empat sahabat, Wani, Izzati, Hafizah dan Akma sedang menunggu dengan penuh kesabaran akan ketibaan sahabat yang dirindui, Raihan. Mereka saling berpelukan dan tidak menghiraukan suasana sekeliling, kerinduan yang terpendam dilepaskan. Kegembiraan jelas terpancar di riak wajah masing-masing. Kenduri doa selamat dilakukan semperna kejayaan Raihan dan sahabatnya mencapai cita-cita. Selepas kenduri doa selamat yang dilakukan di rumah Raihan selesai, Raihan, Izzati, Akma, Hafizah dan Wani, lima sahabat beriringan ke ruang tamu. Raihan memulakan bicaranya di hadapan ayah emaknya dan juga turut berada bersama ibu bapa kepada Izzati, Hafizah dan Akma. Perancangan yang telah dirancang bersama keempat sahabatnya selama dua minggu sebelum hari konvokesyennya perlu diberitahukan kepada emak dan ayahnya. Raihan bersedia menerima apa-apa keputusan yang akan diberikan oleh keluarganya.
“Emak, ayah, sebelum tu, Raihan nak minta maaf sebab tidak memberitahu bahawa sebenarnya kami berlima telah bersepakat untuk menyambung pengajian ke peringkat Master di Jordan. Dan alhamdulillah, doa kami dimakbulkan. Kami mendapat tawaran menyambung pengajian di Jordan. Harap emak, ayah dan keluarga menerima keputusan kami”. Tutur Raihan dan diiakan oleh keempat sahabatnya.
.............................................................................................................................................................
    Rancangan bersama sahabat diberitakan kepada keluarga. Memandangkan Raihan sudah kembali ke tanah air selama setahun dari Australia, kemahuannya untuk ke Jordan menyambung pengajian ke peringkat Master bersama Izzati, Hafizah, Wani dan Akma tidak mendapat tentangan daripada keluarganya. Dua minggu kemudian, mereka berlima berangkat ke Jordan. Kembali merantau di bumi orang, menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tetapi kali ini ke bumi Anbia. Keakraban persahabatan mereka tidak dapat disangkal lagi. Sungguh, Allah memelihara persaudaraan yang dibina keranaNya ini. Keberangkatan lima sahabat ke bumi Jordan menyambung pelajaran peringkat Master diiringi dengan doa dan restu ayah bonda. Tiada rasa kepuasan dalam mencari ilmu.



Indahnya nikmat sebuah persahabatan andai disulam dengan keimanan
Mengingati Allah dalam menyulami kasih sayang dalam persahabatan
Persahabatan yang diberkati, membawa keberkatan, terbinanya ukhuwwah
Teruslah menyulam rasa indah dalam bersahabat.

1 comment:

  1. ~*sedih+gembira=BEST
    ~*Ukhwah is never END fOrever...insyaALLAH ^_~

    ReplyDelete